Yakin adanya REZEKI
Musim PKP ni ramai yang rasa ragu tentang rezeki. Itu adalah lumrah. Keraguan lahir kerana kita belum tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Kadang-kadang situasi ini membuatkan agak sukar untuk kita sentiasa positifkan diri.
Para Nabi pun pernah mengalami situasi yang berat. Mereka tidak tahu apa yang akan berlaku.
Nabi NUH belum tahu banjir akan datang ketika dia membuat kapal dan ditertawakan kaumnya.
Nabi IBRAHIM belum tahu akan tersedia kibas di ketika pisau hampir mengelar leher anak kesayangannya.
Nabi MUSA belum tahu laut akan terbelah dua saat dia dikejar Firaun dan bala tenteranya.
Nabi MUHAMMAD SHOLOLLAHU ALAIHI WA SALLAM pun belum tahu yang Madinah adalah kota tersebarnya ajaran yang dibawanya saat baginda diperintahkan berhijrah.
Yang mereka tahu adalah mereka wajib patuh pada perintah Allah tanpa berhenti mengharap yang terbaik. Keyakinan mereka pada Allah tetap kukuh.
Ternyata disebalik semua ketidak tahuan kita, Allah telah menyediakan kejutan besar jika kita menunaikan perintahNya. Yakin dan bertaqwa.
Pertolonhgan Allah datang di detik-detik terakhir dari usaha hambaNya. Kalau pun hasil yang kita usahakan masih jauh dan tidak nampak hasilnya, bersangka baiklah kepada Allah. Jangan berkecil hati.
Rezeki kita tetap ada. Walaupun tidak mewah ia pasti bercukupan.
Hud 11:6
وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِى ٱلْأَرْضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَاۚ كُلٌّ فِى كِتَٰبٍ مُّبِينٍ
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
Sudah pasti bila kita baca ayat ini kita yakin akan rezeki daripada Allah. Bagaimana kita boleh yakin. Kerana kita adalah golongan orang yang hendaj bertaqwa dan orang yang bertaqwa adalah orang yang tiada keraguan atas petunjuk al Quran.
Al-Baqarah 2:2
ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَۛ فِيهِۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Semoga kita sentiasa tergolong dikalangan golongan orang-orang yang bertaqwa.
Comments
Post a Comment